12 December 2011

Membaca dapat merangsang perkembangan otak


Selepas bayi dilahirkan, biasanya ibu bapa dan keluarga sangat sibuk menyediakan keperluan fizikal seperti lampin, tempat tidur, pakaian dan keperluan-keperluan fizikal yang lain. Tetapi jarang sekali orang yang menyediakan keperluan untuk otak bayi yang sedang berkemang pesat. Ketika lahir bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 (1 trilion) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam masa setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda.
Kanak-kanak seawal usia 3 tahun dapat mengecam dan membezakan bunyi-bunyi dan bentuk-bentuk pada usia ini. Oleh itu dengan teknik yang betul anak-anak dapat mengenal bunyi dan mengaitkan bunyi tersebut dengan bentuk huruf yang ditunjukkan dengan cepat. Anak-anak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ (nama huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan itu, apabila anak-anak melihat huruf ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).
Sebaik-baiknya ibu bapa tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekaligus. Memadai hanya beberapa bunyi asas terlebih dahulu. Sila dapatkan siri cepat membaca Bacalah Anakku yang telah disusun secara sistematik dalam pemilihan bunyi-bunyi huruf yang sesuai terlebih dahulu. Dengan mengikut susunan siri ini, anak dapat menguasai bunyi dengan lebih teratur dan berkesan. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ lebih kerap, wajarlah bunyi-bunyi ‘a i u’ diperkenalkan dahulu. Lebih-lebih lagi bunyi-bunyi ini lebih senang disebut oleh kanak-kanak. Seterusnya bunyi-bunyi konsonan lain diperkenalkan satu persatu , contohnya ‘b’ ‘n’ ‘m’ ‘s’ dan ‘k’.

Persediaan awal ke sekolah

Pada hari ini, hampir sebahagian besar kanak-kanak didedahkan kepada kemahiran membaca ketika memasuki Darjah Satu. Namun begitu, ramai juga yang gagal membaca walaupun telah belajar tiga atau empat tahun di sekolah. Keadaan ini amatlah mengecewakan kerana kejayaan dan masa depan mereka telah mula diramalkan amat gelap. Bagi ibu bapa yang mengambil berat tentang kemahiran membaca terhadap anak-anak akan mendapati jauh lebih mudah mengajar anak-anak di peringkat umur tiga tahun berbanding enam tahun kerana kemampuan mengingat dan menyerap maklumat sangat kuat dan pantas.
Kanak-kanak belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila diuji dengan peperiksaan, tentulah mereka lebih cepat dan tangkas memberi jawapan.
Membaca membina karektor. Kepetahan bercakap berkembang sedikit demi sedikit jika karektor ini dibina, dibentuk dan dikembangkan dengan bersistematik. Terlalu banyak faedah membaca kepada kanak-kanak jika ibu bapa memberi tumpuan khas kepada mereka.
Manfaat membaca terlalu besar apatah lagi kanak-kanak. Membaca awal bererti memilih untuk maju dalam hidup. Terdapat empat faedah utama yang akan memberi kelebihan kepada mereka iaitu:

1.              Proses pembelajaran menjadi lebih lancar dan mudah

Kanak-kanak yang dapat membaca tentulah akan lebih mudah diberi rangsangan dan dorongan untuk belajar. Kenikmatan membaca di kalangan kanak-kanak memang berbeza daripada orang dewasa kerana semangat ingin tahu mereka sangat tinggi. Budaya ingin tahun ini dapat diperhati apabila mereka sering bertanya. Dengan membaca juga, mereka dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman.
Apa sahaja perkataan yang dilihat akan ditanya dan jika tidak faham, ditanya lagi sehingga mereka berpuas hati. Melalui budaya bertanya inilah akan membentuk budaya ingin tahu. Cuba kita bayangkan, sekiranya 100,000 orang kanak-kanak memasuki alam persekolahan telah dapat membaca dengan lancar dan berkesan, negara akan melahirkan satu generasi pelajar yang celik huruf, pintar dan bijaksana mencari ilmu dalam tempoh 20 tahun sahaja.

2.              Seronok untuk ke sekolah

Melalui pembacaan, kanak-kanak dapat menguasai sejuta perkataan. Begitulah kesan kemahiran membaca ke atas kanak-kanak. Sistem pendidikan di sekolah yang menitikberatkan aspek membaca adalah satu saham yang amat besar terhadap kanak-kanak yang tahu membaca. Apabila sudah tahu teknik membaca, mengenal huruf, memahami perkataan dan minat membaca, mereka akan terus membaca di mana-mana sahaja dan bertambah-tambah minat untuk belajar perkara-perkara yang baru di sekolah.

3. Rangsang minat membaca

Membaca adalah jambatan ilmu. Dengan ilmu manusia dipandang mulia sama ada di dunia ataupun akhirat. Minat membaca dalam diri kanak-kanak boleh dirangsang dan dibentuk ketika mereka berumur 18 bulan lagi. Dengan menghadiahkan buku ketika anak-anak mendapat kejayaan dalam pelajaran adalah satu dorongan yang amat bermakna untuk menambah minat membaca mereka.
4. Mempercepatkan proses kematangan

Kemahiran dan keupayaan membaca bukan sekadar membantu anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi membantu meningkatkan proses perkembangan mental, psikologikal dan sosial yang lebih baik.
Keempat-empat faedah ini boleh dikembangkan lagi supaya ibu bapa dapat memaksimumkan potensi perkembangan mental dan fizikal anak-anak khususnya anak perempuan. Di dapati kanak-kanak perempuan lebih cepat matang dan bersedia dengan corak fikir yang lebih mencabar.
Pada era teknologi maklumat sekarang, pencerapan ilmu paling banyak diperolehi melalui pembacaan dan pemerhatian. Faedah membaca akan nampak nyata pada orang yang mengamalkan ilmu atau idea yang diperolehi daripada proses membaca. Bagi kanak-kanak, membaca membuatkan mereka mempelajari sesuatu yang baru dan menambah tahap kecerdikan untuk bertanya, mengambil tahu dan melaksanakan apa yang mereka tahu. Sebab itulah kita lihat kanak-kanak yang bijak, keupayaan sosialnya lebih baik kerana proses membaca dapat membentuk pemikiran mereka untuk berfikir dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan tahap usia masing-masing.
Pendidikan adalah survival bagi masa hadapan seorang kanak-kanak. Mereka harus dibekalkan dengan segala persediaan awal yang dapat mempastikan survival mereka dalam persekitaran masyarakat yang bersaing. Salah satu survival kanak-kanak ialah kemahiran membaca supaya dapat bersaing dan bergerak ke hadapan menghadapi cabaran. Dunia hari ini tidak lagi memberi semuanya percuma sebaliknya kita perlu berusaha untuk mendapatkan apa sahaja. Bagi mendapatkannya, kita perlu menyediakan kanak-kanak dengan kemahiran. Dan kemahiran yang paling berharga ialah membaca.

0 komen:

Post a Comment